Tuesday, January 25, 2011

TERPAKSA REHAT SEMENTARA

Oleh kerana musibah yang menimpa tempuhari, saya belum lagi beli laptop sendiri.  Didalam keadaan sekarang ni, kita terpaksa mesti lebih peka.  Jadi kena ikut budget jugalah.

Saya baru belikan sebuah laptop untuk dikongsi-guna oleh anak-anak terutamanya.  Berebut-rebut di antara mereka.

Insya Allah, minggu ini saya akan belikan satu lagi supaya kedua orang anak yang masih belajar tak perlu berebut lagi.  Anak yang sudah bekerja tu minta subsidi juga.

Nampaknya si Ayah ni kena beralah; kena belikan untuk anak-anak dulu.  Jadi saya tak dapatlah nak meluangkan masa di Maya ni.

Waktu kerja, selalu kesuntukan masa.  Balik di rumah, kena tunggu masa anak-anak tak guna .. selepas mereka dah masuk tidur seperti ni la!

Rehat sementaralah nampaknya!  :)

Saturday, January 15, 2011

AWAL TAHUN YANG MURAM

Tahun ini nampaknya telah meninggalkan tanda hitam dan parut luka yang pedih seawal Januari lagi.  Kami sekeluarga mengalami trauma berat yang sukar dilupakan.

Mula-mula tu mereka yang membawa musibah ini menyimbah cat di kereta isteri saya.  Semua kami terpinga-pinga kerana sepertinya itu perbuatan kumpulan Ah Long.

Isteri saya lalu bertanya kepada anak-anak samaada di antara mereka pernah terlibat dengan meminjam dari kumpulan ini.  Semua bersumpah mereka tak pernah pun melakukan perkara seperti itu.

Selang beberapa hari kami diserang pula ketika tiba balik ke rumah.  Mereka menyerang dengan memecahkan cermin tingkap dan memukul dua buah kereta kami dengan batang besi.

Kemudian kami semua diugut dengan senjata supaya mengeluarkan semua dompet wang dan beg tangan.  Setelah itu, mereka geledah bilik dan mengambil semua laptop dan juga komputer meja.  Barang kemas dan wang simpanan untuk tujuan kecemasan kami juga mereka kebas.   Sebelum beredar pergi, mereka simbah pintu dan dinding hadapan rumah kami dengan cat merah.

Mengikut siasatan mereka itu telah tersalah sasaran kerana penghuni rumah sebelah kami yang umum ketahui terjebak berat dengan hutang.  Tak tahu bagaimana kami pula yang menerima padahnya.  Memang badi dibuatnya!

Tuesday, January 04, 2011

KUASA DI TANGAN RAKYAT

Loya sungguh dengan gelagat pemimpin politik yang diberi kuasa.  Saga terkini pastilah tentang perlantikan Setiausaha Kerajaan Negri Selangor.

Di satu sudut padang mereka memberi tahu mereka utamakan rakyat dan pembangunan negara.  Di satu sudut padang yang lain mereka bersorak-sorak, ketawa senang hati kerana umpan banyak yang makan.

Memang sudah terbukti politik adalah gelanggang merebut kuasa dibeberapa tangan/individu.  Tentulah kenderaannya adalah parti politik yang mereka wakili.  Ada rakyat memilih parti politik dan tidak memberi perhatian kepada individu yang mewakili parti.

Hakikatnya, individu yang memacu parti.  Kebanyakan individu memang gila kuasa kerana kuasa memberi hak merencana untuk tempuh mereka mendapat kuasa.

Bukan bermakna mereka boleh merencana sesuka hati.  Malangnya mereka yang mendapat kuasa acap kali menjadi ghairah!

Ada kata popular bahawa 'kuasa itu korup, lebih besar kuasa lebih besar korupsinya!'  Dunia mengesahkannya.  Hampir tiada pengecualiannya.

Solusinya ada di tangan rakyat sebenarnya.  Kuasa sebenar adalah di tangan rakyat!