Sudah lama juga saya tak ikut isteri ke pasar. Tetapi saya berjanji untuk menemaninya ke Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) hari ini.
Begitu ramai pengunjung ke Pasar ini. Pusing tawaf beberapa kali pun tak juga dapat parkir. Kemudian saya tunggu saja sampai ada orang keluar. Itu berlaku hampir sejam selepas itu. Aduhhh, letih dan serik rasanya.
Saya yakin ramai orang suka membeli bekalan di sini kerana hampir semuanya ada. Bukan saja daging, ayam, ikan dan bahan laut, sayur-sayuran serta buah yang ada. Tetapi di sini juga ada gerai jualan barang runcit, kedai kek, kedai kueh, gerai-gerai makan, kedai bunga, tukang jahit, dan bermacam-macam lagi. Pendeknya semua yang terfikir di kepala memang ada dijual di sana.
Mengikut kata isteri pula, ramai orang suka ke sana kerana segala kueh-mueh dari yang biasa dan eksklusif pun ada. Pembeli boleh mendapat jenis makanan segera berbeku, kueh mueh segar, dan kueh-kueh kelas atasan. Memang saya lihat 'brownies' yang dijual di pasar ini setara dengan yang dijual di kedai bakeri eksklusif.
Di pasar ini juga terdapat lemang, ketupat dan rendang. Ada juga biskut-biskut dan jenis-jenis makanan ringan seperti kerepek. Katanya memang setiap hari makanan ini dijual. Kualitinya juga baik.
Satu-satunya perkara yang kurang menarik ialah harga barang. Jelas harga di sini agak tinggi. Tetapi itu tidak menjadi halangan bagi pembeli yang sudah maklum tentang perkara ini.