Sunday, July 04, 2010

KUALA LUMPUR BERTARAF DUNIA?

Pening betul bila terpaksa meredah di Kuala Lumpur (KL) dan kawasan-kawasan tertentu.  Seminggu ini saya terpaksa berulang-alik ke KL kerana urusan kerja.

Sudah berulang kali, bertahun-tahun, pemimpin dan politikus asyik duduk bercerita nak menaikkan taraf KL ke tahap antarabangsa.  Baru-baru ini Menteri Wilayan Persekutuan, dan Kebajikan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pun mengulang kenyataan yang hampir senada.

Hai, sudah-sudahlah dengan retorik politik!  Jangan jadi macam burung tekukur yang asyik mengukuk bising saja, melaungkan itu dan ini serta bangga dengan kemungkinan yang belum menjadi realiti.  Jangan gila canang yang Kuala Lumpur akan menjadi seperti Singapura dan Hong Kong.  Naik mual rasanya!!!

Lalu lintas di Kuala Lumpur terus juga jam, walaupun ada jalan tol sana sini.  Negara yang sekecil Malaysia ni, begitu banyak tempat kutipan tol jalan.  Dalam pada itu jam bertambah teruk pula, terutamanya semasa masa kemuncak.

Saya pergi melancung ke Amerika dulu, jalan beribu-ribu batu, satu jalan pun tak ada kenakan tol!  Bila nak masuk ke San Francisco menggunakan jambatan khas tu barulah bayar USD 4 saja untuk sebuah kenderaan bersama penumpang-penumbang.  Saya suami isteri pergi seluruh California, ke Las Vegas dan sebahagian Arizona yang merangkupi jarak hampir 3000 batu.  Itulah saja jumlah tol yang dsibayar - hanya USD 4 saja.

Kata kawan yang duduk di sana, seluruh Amerika Syarikat tu memang hampir semuanya bebas tol.  Selain di jambatan untuk ke San Franciso tu, ada sebilangan yang terlalu kecil yang mengutip tol.  Katanya, kalau pergi ke utara, jika nak masuk ke kota Metropolitan New York baru ada satu tol; dan jika nak ke Key West di selatan Florida baru ada lagi tol.

Di KL yang kecil ini, sudah la kena bayar tol sana sini, jalan pula jam, dan tempat parkir kereta tidak dapat menampung permintaan.  Saya baru terperasan, perancangan bandar amat tidak efisyen.

Umpamanya, macam mana nak cukup parkir kalau tiga blok bangunan kedai hanya menyediakan sekitar 100 - 200 tempat saja.  Syarikat perniagaan sekurang-kurangnya ada 30, jika jenis perniagaannya besar, dan meningkat hingga dua kali ganda atau lebih jika jenis perniagaan itu kecil.

Lihat saja di Jalan Masjid India tu.  Ada berpuluh perniagaan besar dan ratusan perniagaan kecil.  Pekerja saja telah mengambil hampir 3/4 parkir yang sedia ada.  Mana cukup lagi untuk pelanggan dan orang ramai nak letakkan kereta?

Pemimpin tu cukup-cukuplah duduk main wayang.  Jangan asyik bercakap dan mencanang gendang kosong saja.  Sekurang-kurangnya bekerjalah dengan gigih dan ikhlas mencari penyelesaian kepada masaalah yang sedia ada.