Wednesday, February 24, 2010

MENCURI WANG DI ATM

Selepas semua yang mengambil cuti panjang sempena Tahun Baru Cina balik bekerja, jadi riuh pula ofis.  Terlalu banyak kerja pula yang mesti dilaksanakan.  Waktu rehat dan solat pun terpaksa dipendekkan.  Tekejar-kejar semua kaki-tangan.  Petang ini barulah berkelapangan sikit.  Saya nak bicara tentang taktik kes penipuan ATM yang terkini.

Seperti mana kita tahu akal fikiran dan minda manusia dianugerahkan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan. Tetapi, sekarang ini para kriminal ternyata menggunakan kepintaran untuk melakukan segala macam jenayah yang menyusahkan dan membahayakan orang lain. Di antara kepintaran negatif terkini ialah mencuri wang kepunyaan orang lain melalui teknik tukaran kad ATM.

Dalam sekelip mata saja pelanggan bank boleh kehilangan ribuan ringgit. Dalam sehari, satu akaun boleh kehilangan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk had traksaksi ATM tradisi (lama), atau RM5,000 jika sudah diselenggara ubah-naik had keluaran ke kadar maksima satu hari. Sekiranya perkara itu tidak disedari oleh pemiliknya untuk suatu tempuh waktu, wang simpanan akaun berkenaan boleh dihabiskan dalam masa yang singkat saja. Ternyata, pelanggan yang tertipu dengan cara ini boleh kehilangan seluruh wang di akuan mereka jika lambat menyedarinya.

Saya sebagai salah seorang pegawai bank telah diberitahu tentang ujudnya taktik menipu yang terbaru ini. Modus operandinya kelihatan amat mudah sekali. Pencuri-pencuri hanya menarik minat sesaat pemegang akaun dan kad ATM. Mengikut fakta, ada pencuri berkenaan berkerja secara berkumpulan kecil terdiri dari dua atau tiga orang di mana salah seorang darinya adalah seorang wanita.

Sasaran mangsa ialah mereka yang sedang membuat pengeluaran wang di ATM. Salah seorang anggota pencuri itu akan menabur beberapa keping wang kertas RM 1 atau RM 10 di lantai berdekatan mangsa yang sedang membuat transaksi. Kemudian, anggota wanitanya akan menarik perhatian pemegang akaun berkenaan tentang wang yang bertaburan di lantai yang kononnya jatuh atau milik beliau.

Sementara itu salah seorang lain akan curi-curi melihat nombor PIN semasa pemegang akaun berkenaan mula membuat transaksi. Jadi di dalam kekalutan itu, mereka sudah mendapat nombor PIN dan mereka juga menarik keluar kad ATM pemegang berkenaan. Kad ATM milik orang lain, kemungkinan milik mangsa terdahulu, akan diletak di ruang kad untuk menggantikan kad yang mereka tarik keluar. Kemudian mereka segera menghilang.

Apabila pemegang akaun berkenaan menghadapi ATM semula, beliau tidak terperasan apa yang telah berlaku kerana wang dikeluarkannya tidak diambil dan kad ATM juga masih ada. Mangsa akan terus mengambil wang yang dikeluarkan serta juga kad kepunyaan orang lain itu dan terus saja beredar.

Sekiranya kebetulan pemegang akaun berkenaan membuat transaksi berikutnya dan di situ juga, tentulah beliau akan segera sedar bahawa kad ATM yang ada bukan milikinya.  Tentu juga tindakan segera dan sewajarnya dapat diambil untuk mencegah salah penggunaan kad ATM berkenaan.  Tetapi memang itu jarang sekali berlaku.

Jika pemegang akaun berkenaan tidak membuat transaksi untuk tempuh waktu yang lebih dari sehari dua, tentunya beliau terus tidak sedar bahawa kad ATMnya sudah dicuri dan digunakan untuk mengeluarkan baki wangnya. Beliau hanya akan sedar apabila beliau cuba membuat transaksi baru selepas itu. Ketika itu barulah akan terbongkar segalanya.

Kita terpaksa lebih berhati-hati kerana pencuri, perompak dan semua penjenayah akan sentiasa mencuba pelbagai cara untuk berada sekurang-kurangnya setapak dahulu dari kita. Mereka sentiasa mencari akal, sementara kita pula sering lalai.