Semalam Bernama membawa berita tentang serbuan awal pagi di sebuah pusat hiburan di Tanjung Malim, Perak. Hari ini beritanya tersibar melalui media, khususnya akhbar-akhbar arus perdana. Apa yang lebih menarik perhatian ialah tentang terdapat anggota polis dan guru di antara 44 orang yang yang ditahan kerana memiliki dan/atau positif dadah.
Nak dikatakan berita ini memeranjatkan kita, saya yakin tidak juga. Pada saya, berita ini memperkuatkan hujjah bahawa memang terdapat di kalangan pemegang amanah dan penjawat awam yang mengkhianati amanah yang diberikan. Kita sering dengar dakwaan bahawa ramai pegawai-pegawai polis yang rasuah, memeras dan tidak bermoral serta juga dakwaan bahawa terdapat guru-guru yang berkelakuan tidak bermoral dan rendah budi.
Dalam operasi di awal pagi itu, empat orang anggota polis telah di tahan kerana berada di pusat berkenaan ketika serbuan dibuat. Salah seorang dari mereka disahkan positif dadah sementara tiga anggota polis lain itu bakal berhadapan dengan tindakan disiplin. Sekurang-kurang mereka mesti mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung tujuan mereka berada di pusat hiburan berkenaan pada ketika serbuan dibuat.
Guru yang turut ditahan itu berusia 27 tahun dan adalah seorang tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Trolak. Beliau didapati memiliki dadah ecstacy. Turut ditahan bersama di dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki termasuk pengurus pusat hiburan tersebut kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat hiburan tersebut.
Diberitakan juga, polis telah mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah. Ia bertujuan untuk digunakan jika dan semasa serbuan dibuat. Mungkin juga langkah sedemikian diambil kerana pusat hiburan itu pernah diserbu sebelum itu. Mengikut sumber berita ini, pusat berkenaan telah diserbu oleh polis dari IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lalu dan telah berjaya menahan tiga pengunjung yang juga disahkan positif dadah.
Itulah hakikatnya. Insan memang sukar insaf dan serik. Selagi namanya manusia, gejala-gejala seperti ini akan terus berlaku. Sesekali ceritanya akan menjadi berita panas dan menghiasi dada akhbar. Kanun dan undang-undang yang ada serta perlaksanaannya tidak berupaya untuk menangani gejala berkenaan. Malah ada pesalah-laku yang berulang kali melakukannya. Pesalah yang pasti tidak akan mengulangi kesalahan yang sama adalah mereka yang telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati.