Letih rasanya nak berbicara pasal suasana dalam negara lagi yang bersabit terus dengan politik dan politikus. Ia bukan lagi pasal siapa yang benar dan lebih baik. Soalannya patut berbunyi, 'siapa yang lebih kurang propaganda dan berbohong serta kurang melakukan perbuatan yang tidak baik dan menjengkelkan?'
Terlalu banyak perkara yang tidak kena yang telah dilakukan oleh pucuk pimpinan. Polisi yang dijalankan berdekad dulu kini menghasilkan masyarakat yang terkeliru dan haru. Sedih, sedih !!!
Biar saya cerita pasal mee bandung yang baru saya makan untuk makan tengahari sekejap tadi. Bukan apa, terasa lucu juga perkara ini.
Mee Bandung Malaysia
Saya makan mee bandung Malaysia ini di kedai Mamak yang tidak berapa jauh dari pejabat saya. Kebanyakan pekerjanya terdiri dari warga Indonesia. Kebetulan ada beberapa orang pekerja itu berasal dari kampung yang berdekatan dengan bandar Bandung, Indonesia. Kata salah seorang darinya yang menghantar mee itu kepada saya, "Mee seperti ini memang tidak ada di Bandung Pak."
Rupanya orang Bandung pun tidak mahu mengaku masakan mee seperti itu adalah masakan Bandung. Mungkin juga ini dapat dijadikan satu kiasan betapa orang Malaysia sesuka hati saja melabelkan benda dan orang.