Jelas sekali memang ada banyak yang tidak kena dengan sistem pendidikan dan masyarakat kita. Jika sistem pendidikan dan nilai masyarakat kita di landasan yang betul, peristiwa membuang bayi dan penderaan melampau terhadap kaum dan kanak-kanak yang lemah akan menjadi kes yang jarang sekali berlaku.
Akhir-akhir ini, hampir setiap hari, ada saja berita yang menyayat hati kerana kekejaman manusia. Ada bayi yang mati terbuang, anak yang meninggal kerana didera dan isteri menderita kerana sifat suami yang panas baran dan kebinatangan.
Hari ini saja dua peristiwa yang amat sedih dimuatkan di muka depan akhbar. Saya petik secebis berita-berita berkenaan di bawah:
Kena sebat setiap hari
“Setiap kali naik angin, suami mencapai apa sahaja barang bersebelahannya termasuk tali pinggang, pasu bunga, botol susu anak atau kunci rumah untuk memukul saya.
“Bayangkan, jika anak menangis, saya terpaksa bersedia menerima hukumannya hingga mengakibatkan saya lebam dan alami kecederaan di punggung serta anggota badan lain,” katanya.
Menurut Zarimah, kejadian sama berulang sekiranya dia melakukan kesalahan kecil di rumah, termasuk lambat membancuh susu anak, mahu pun terlupa menyusun ikan dan sayur-sayuran dalam van yang digunakan suami.
Menurutnya, suasana itu menyebabkan dirinya seolah-olah menjalani kehidupan di neraka biarpun membina rumah tangga pada usia 17 tahun atas dasar suka sama dengan lelaki dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini.
Mati didera siang malam
Misteri jeritan sayu diselangi tangisan kanak-kanak pada lewat malam yang menghantui penduduk sebuah pangsapuri di sini sejak hampir sebulan lalu akhirnya terbongkar selepas seorang budak perempuan berusia tiga tahun ditemui mati didera, pagi semalam.
Penderitaan kanak-kanak malang itu, Lee Swee Hui, berakhir selepas mangsa yang dipercayai dipukul teruk, selain kepalanya dihentak pada dinding, mati di rumahnya di Pangsapuri Bayu, Taman Sri Serdang 8, di sini.
Lebih mengejutkan apabila mangsa dipercayai dipukul saban hari oleh bapa tiri dan ibu kandungnya tanpa mengira siang atau malam.
“Siasatan lanjut menemui pelbagai kesan lebam dan kecederaan pada tubuh mangsa menyebabkan doktor bertugas mengesyaki kanak-kanak itu mati akibat didera.
“Susulan itu, satu laporan polis segera dibuat sebelum bapa tiri mangsa yang berusia 27 tahun diberkas untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal terdapat lebih 30 kesan lebam dan kecederaan serius pada tubuh dan muka mangsa.
Jenis manusia begini tidak layak hidup di zaman tamaddun. Kejadian seperti ini adalah zaman 'cannibal' dulu.