Tuesday, January 19, 2010

BILA HAMPIR SEMUANYA HANCUR

Tadi seorang kawan lama yang sesama belajar di ITM dulu datang ke pejabat.  Mulanya bila hanya melihat dari pintu kaca pejabat saya tak terperasan dia.  Tapi selepas dia memperkenalkan diri dengan pegawai saya dan bersungguh-sungguh meminta izin untuk berjumpa barulah saya keluar.  Beberapa ketika barulah dapat mengecamnya.  Maklumlah, jangka masa terpisah sudah lebih dari 20 tahun, dan secara fizikalnya kita sudah banyak juga berubah.

Satu pertemuan yang agak emosional sebenarnya.  Kawan saya ni sudah jatuh muflis gara-gara perniagaan yang tersasar.  Beliau tidak memberitahu semuanya.  Tetapi apa yang beliau jelaskan sudah cukup untuk saya mengerti.

Apa yang dapat dikatakan lagi.  Walaupun mempunyai kelulusan akademik dalam bidang perakaunan, ternyata beliau tidak berpegang kepada prinsip disiplin ini.  Seliaan kewangan syarikatnya amat longgar, kawalan pergerakan syarikatnya juga tenyata tidak mengikut perancangan yang jelas.  Mungkin kesalahan terbesar dan paling serius ialah beliau mencampur-adukan wang syarikat dengan wang peribadi.  Jadi tidak hairanlah hampir semuanya yang beliau ada itu hancur.

Beliau datang untuk meminta pertolongan sekiranya institusi saya atau kenalan lain dapat membantunya untuk dapat bangun semula.  Malangnya, dalam keadaan seperti itu, tidak ada institusi kewangan yang akan memberi pinjaman.  Beliau sebenarnya tidak ada pilihan selain dari menstrukturkan semula perniagaannya.