Thursday, March 25, 2010

MELAYU SEDANG HILANG HAK DAN KEISTIMEWAAN?

Saya amat hairan dengan kenyataan berapi-api dari pemimpin Perkasa dan mereka yang bersekongkol dengannya yang kononnya mereka memperjuangkan hak orang Melayu.  Katanya mereka sedang berusaha gigih untuk menyelamat hak dan keistimewaan orang Melayu.  Mengikut kata mereka, mereka juga mahu memperkasakan Melayu.  Mereka ini cakap bahasa apa sebenarnya?

Bila pula hak dan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu diubah atau dimansuhkan?  Kita juga tidak mendengar usaha ke arah itu.  Tidak ada pembentangan didalam mana-mana sidang Parlimen setakad ini; dan sudah tentulah juga tiada perbahasan dan tiada kelulusan pun oleh sidang Parlimen; seterusnya tidak ada pindaan atau pengwujudan peruntukan baru bersabit dengan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Sudah-sudahlah dengan segala manipulasi dan rhetorik politik.  Jangan teruskan usaha memperbodohkan bangsa sendiri.  Nanti sesudah masuk kubur pun, anda akan terus dikutuk.  Malah mungkin ada yang akan kencing berdiri dikubur anda.

Masalah Melayu bukanlah kerana Melayu tidak ada hak dan keistimewaan.  Tetapi apa yang lebih meruncing ialah sikap sesetengah Melayu yang berkepentingan.  Jelas ada Melayu sendiri yang  tikam Melayu; Melayu sendiri mengkianati Melayu dan  banyak pula Melayu membutakan mata dan memekakkan telinga untuk menerima kenyataan yang perit ini.

Inilah masaalah sebenar orang Melayu.  Hak mereka terhakis dan semakin mengecil dalam amanah orang-orang Melayu sendiri.  Ibarat anak yatim piatu dari sebuah keluarga yang kaya raya, tetapi harta mereka dinikmati oleh pemegang amanah yang tidak amanah.