Thursday, March 18, 2010

MENANGANI GEJALA SOSIAL YANG SEMAKIN MERUNCING


Hari-hari ada saja berita tentang gejala dan masaalah sosial. Ada kes dadah, kes-kes pencolekan, rompakan, salah guna kuasa dan pelbagai bentuk rasuah.

Terkini tadi seorang bekas pengarah Jabatan Perhutanan didakwa setuju terima rasuah RM20,000 dari sebuah syarikat balak dari Alor Star.  Dua hari lepas kita membaca berita tentang seorang suri-rumah yang menceritakan sengsara 11 hari setelah dicolek dan diperkosa.  Sebelum itu kita dikejutkan dengan cerita tahanan reman ke atas Benjy, seorang artis popular, kerana kes dadah.  Jelas, semakin hari, gejala sosial semakin meruncing.

Sesuatu harus dilakukan oleh pihak berwajib dengan lebih serius dan komitmen yang tinggi.  Pemimpin dan pegawai kerajaan mesti benar-benar jujur dan amanah untuk sama-sama mencari solusi paling berkesan.

Kualiti sumber manusia ternyata amat penting.  Saya amat yakin cara membentuk dan menghasilkan sumber manusia yang tinggi kualitinya mesti bermula dari pendidikan yang tinggi mutu ilmu pelajaran dan pembentukan insaniah.

Sistem pelajaran mesti menyeluruh.  Ia harus bermula awal dari zaman bayi di rumah hingga kepada pendidikan formal menyeluruh di institusi pengajian yang bermula dari sekolah tadika dan sekolah rendah lagi.