Kalau diikutkan, badan ni rasa dah letih sangat kerana hari ini memang amat penuh. Tapi rasa nak kongsi kegembiraan melebihi rasa letih tu pula. Jadi saya masuk jugalah ke Maya. :)
Jika anda mendengar berita, tentu anda tahu bahawa institusi dan majikan saya mendapat untung yang berlipat ganda untuk tahun kewangan terakhir ini. Berita ini disambut dengan perasaan yang bercampur-campur kerana kaki-tangan tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh pihak atasan.
Dulu pernah juga ada pendapatan dan keuntungan yang membanggakan, tetapi lembaga pengarah dan pihak atasan mengambil keputusan untuk kontrakan dengan kerugian tahun-tahun sebelumnya. Kata mereka lebihan tahun berkenaan tidak cukup untuk menampung semua tanggungan yang masih tertangguh.
Jadi, walaupun keuntungan tahun kewangan akhir ini amat baik sekali, kaki-tangan bertanya-tanya sesama sendiri samaada terdengar desas-desus yang positif dari pihak atasan. Ada yang kata mungkin jumlah bonus ditambah, dan ada yang kata mungkin ada tawaran untuk kaki-tangan membeli syer dengan harga yang istimewa.
Selagi tak ada berita resmi dari pihak atasan, sekelian kaki-tangan hanya mampu berdoa. Semoga mereka pihak atasan bermurah hati. Kami sekelian menunggu dengan penuh harapan. Harap-harap ada bonus berganda nanti.