Banyak orang di kalangan rakyat, termasuk juga saya, rasa tidak senang dengan tindakan pemimpin Perkasa dan mereka yang bersekongkol dengannya. Mereka ini sering membangkitkan isu kepentingan dan hak orang Melayu. Isu ini begitu amat sensititif kerana ia boleh melewati transgresi kaum.
Sebenarnya, kita boleh lihat dengan nyata bahawa secara keseluruhannya, kebanyakan rakyat Malaysia, samaada mereka adalah Melayu, Cina, India atau dari kaum-kaum lain, telah hidup dengan aman damai dan saling menghormati. Jika ada krisis pun, ianya adalah seperti juga di dalam sesebuah rumahtangga di mana suami isteri berbeza pendapat dan berselisih faham yang kemudian berbaik kembali. Kasih sayang dan persefahaman tidak luntur.
Jika sering dilaga-laga dan diapi-apikan, batu dan pasir pun boleh mengeluarkan api serta bernyala. Jadi adalah amat mustahak sekali untuk seluruh rakyat terus mendukung sepenuhnya matlamat integrasi nasional. Janganlah asyik dengan agenda peribadi yang jumud. Sudah-sudahlah dengan usaha yang hanya mengelirukan rakyat, dan menimbulkan keresahan.
Perlembagaan telah memperuntukan bahawa hak dan keistimewaan orang Melayu amat utuh, yakni sudah terpelihara dengan baik. Ianya tidak mudah tergugat.
Sudah tiba masanya untuk setiap rakyat menerima hakikat bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dan berpelbagai budaya. Ciri-ciri itu pasti kekal jika kita semua hormat dan memeliharanya dengan baik. Itulah destini dan ketentuan masa depan Malaysia, dan kita mesti akur.