Perasaan saya bercampur-baur dengan pelbagai kempen nasional mencegah denggi. Menteri dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan melauangkan tentang langkah-langkah tertentu untuk menangani wabak denggi.
Terkini, hari ini, Ketua Pengarah Kementerian mengumumkan perlantikan selebriti terkenal, Aznil Nawawi sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan 'Jom Ganyang Aedes.' Selepas majlis menandatangani perjanjian persafahaman, kedua belah pihak kelihatannya teruja dengan langkah ini.
Saya tabik Aznil kerana kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sosial ini. Tetapi saya tidak nampak bagaimana keberadaannya itu akan menghapuskan nyamuk aedes dan membanteras denggi.
Kata Ketua Pengarah Kementerian, "Penglibatan beliau ..... diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi."
Projek khas 'Jom Ganyang Aedes' dikatakan adalah khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh. Kementerian sedang berusaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah.
Aktiviti semburan kabus atau fogging dikatakan juga hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik. Jadi mereka memfokus kepada penduduk dan penghuni premis untuk memain peranan bagi memastikan tiada jentik-jentik yang akan membesar menjadi nyamuk aedes.
Ironinya, banyak longkang dan tempat-tempat yang menakung air dan membiak jentik-jentik ialah di bawah bidang kuasa dan seliaan pihak berkuasa tempatan dan institusi tertentu.
Umpamanya di kawasan perumahan saya, laman rumah dijaga bersih oleh penduduk. Tetapi longkang hanya dicuci secara berkala - kadang-kadang sampai berbulan tak dibersihkan. Di luar juga ada tin dan bahan penakung air lain yang dibuang oleh entah siapa dan juga yang dicicirkan oleh lori angkut sampah. Jelas sekali aktiviti semburan atau fogging juga tidak dijalankan.
Dengan kata lain kegagalan membenteras itu adalah kegagalan pihak berkuasa menjalankan kewajipan mereka. Cuba ambil contoh kes kawan baik Aznil sendiri, iaitu Allahyarham Din Beramboi. Tidakkah arwah terkena gigitan nyamuk aedes semasa membuat pengambaran di sekitar kawasan yang di bawah jagaan pihak berkuasa tertentu?