Wednesday, June 23, 2010

TIBA-TIBA POLIS AMAT EFISYEN

Sumber polis memberitahu bahawa golongan kenamaan berstatus Datuk adalah di antara tujuh individu dikenal pasti menjadi dalang sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2010.  Judi haram ini di Malaysia sejak Piala Dunia bermula pada 11 Jun lalu ini dikatakan membabitkan nilai pertaruhan melebihi RM300 juta.

Mengikut sumber berita berkenaan juga, suspek yang amat dikehendaki polis itu dipercayai telah melarikan diri ke luar negara selepas yakin kegiatan mereka dihidu polis.  Keyakinan mereka adalah berdasarkan kejayaan pasukan polis didalam beberapa operasi membanteras pertaruhan haram dan bookie judi bola sepak.

Bagaimanapun identiti suspek-suspek berkenaan tidak didedahkan.  Polis memberi alasan itu adalah kerana mereka masih menyiasat kaitan serta peranan mereka dalam aktiviti pertaruhan haram itu.

Mengikut kenyataan polis, unit gempur Polis Bukit Aman telah berjaya mematahkan lebih 10 sindiket bookie dan pertaruhan haram bola sepak di seluruh negara sejak mula beroperasi 11 Jun lalu.  Kaki judi dikatakan berumur 15 hingga 73 tahun.

Syabas kepada PDRM.  Tiba-tiba di kali ini mereka amat efisyen!  Semoga Datuk-Datuk berkenaan segera dibawa ke muka pengadilan bersama dengan sindiket yang berkaitan.