Wednesday, March 31, 2010

PANAS SEKELILING

Cuaca sekarang amat panas dan isu-isu di sekeliling pun dah semakin panas.  Hari-hari tak senang duduk kita dibuatnya.  Tapi streamyx pula buat hal .. merangkak, mengesut kerana tak cukup kapasiti la tu!  Naik hantu juga .. sampai tak boleh nak lagi nak melelapkan mata ni .. geram betul.

Dalam pada itu, hati amat resah dengan pendedahan yang dibuat oleh Dato' Seri Anwar (DSAI) mengenai isu APCO dan Malaysia.  Alang-alang buat entry saja la.

Saya petik mukadimmah ucapan jawapan DSAI di Parlimen yang dinanti-nantikan pada seesi sidang Parlimen hari ini:
Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.
Panjang lebar penerangan dengan sokongan dokumen yang dibentangkan oleh DSAI.  Semuanya begitu meresahkan rakyat seperti saya.  Saya tidak tahu kenapa MPs dan mereka dalam BN tidak menunjukkan reaksi normal yang merasa seram dan bimbang.  Adakah mereka terikat dengan gag khusus dan itu membuatkan mereka itu takut gaya pengecut?

Sunday, March 28, 2010

BILA DELEGASI BERSUARA


Di saat ini rasanya ramai sudah tahu bahawa Dato' Seri Chua Soi Lek telah dipilih sebagai Presiden MCA yang baru.  Berita ini baru saja diketahui lewat petang tadi.

Sementara Timbalan Presiden yang dipilih ialah Datuk Liow Tiong Lai.  Empat naib presiden yang dipilih pula ialah Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Ternyata orang seperti Datuk Seri Ong Tee Keat sukar di terima sebagai 'group player' kerana ramai orang berkepentingan.  Dalam politik, mereka bukan perlukan seorang pemimpin yang mempunyai imej yang bersih atau seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkesan.

Parti politik dan di dalam dunia politik terdapat banyak ahli-ahli yang berkepentingan.  Mereka memerlukan seseorang yang boleh menjadi seorang pemimpin yang menjaga kepentingan mereka bersama.

Jadi bila diserahkan kepada delegasi, delegasi akan memberi suara lantang bahawa mereka mahukan seorang ketua pemimpin 'group leader' yang berkesan dan popular.  Ini bukan hanya kenyataan untuk parti MCA saja.  Mana-mana parti dalam BN terbukti mengikut polar yang sama.

Thursday, March 25, 2010

MELAYU SEDANG HILANG HAK DAN KEISTIMEWAAN?

Saya amat hairan dengan kenyataan berapi-api dari pemimpin Perkasa dan mereka yang bersekongkol dengannya yang kononnya mereka memperjuangkan hak orang Melayu.  Katanya mereka sedang berusaha gigih untuk menyelamat hak dan keistimewaan orang Melayu.  Mengikut kata mereka, mereka juga mahu memperkasakan Melayu.  Mereka ini cakap bahasa apa sebenarnya?

Bila pula hak dan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu diubah atau dimansuhkan?  Kita juga tidak mendengar usaha ke arah itu.  Tidak ada pembentangan didalam mana-mana sidang Parlimen setakad ini; dan sudah tentulah juga tiada perbahasan dan tiada kelulusan pun oleh sidang Parlimen; seterusnya tidak ada pindaan atau pengwujudan peruntukan baru bersabit dengan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Sudah-sudahlah dengan segala manipulasi dan rhetorik politik.  Jangan teruskan usaha memperbodohkan bangsa sendiri.  Nanti sesudah masuk kubur pun, anda akan terus dikutuk.  Malah mungkin ada yang akan kencing berdiri dikubur anda.

Masalah Melayu bukanlah kerana Melayu tidak ada hak dan keistimewaan.  Tetapi apa yang lebih meruncing ialah sikap sesetengah Melayu yang berkepentingan.  Jelas ada Melayu sendiri yang  tikam Melayu; Melayu sendiri mengkianati Melayu dan  banyak pula Melayu membutakan mata dan memekakkan telinga untuk menerima kenyataan yang perit ini.

Inilah masaalah sebenar orang Melayu.  Hak mereka terhakis dan semakin mengecil dalam amanah orang-orang Melayu sendiri.  Ibarat anak yatim piatu dari sebuah keluarga yang kaya raya, tetapi harta mereka dinikmati oleh pemegang amanah yang tidak amanah.

Tuesday, March 23, 2010

BANYAK CERITA TAK DAPAT DICERITA

Entah kenapa komputer saya buat hal. Sepanjang hujung minggu langsung tak dapat berbuat apa-apa.  Semalam baru dihantar ke kedai untuk dibaiki.  Katanya komputer saya kena virus dan banyak alat dalam yang rosak.  Terpaksa ditinggalkan di kedai sampai besok.

Ingat apabila dah bawa ke kedai, komputer dah akan pulih seperti biasa.  Banyak cerita yang nak diceritakan.  Nampaknya kena ditunda dulu.

Saya tak selesa mengguna komputer ofis untuk tujuan yang berbentuk peribadi.  Lagipun, ia bukan satu tauladan yang baik.  Tapi, hari ini saya terpaksa gunakan juga sekejap untuk tujuan membuat entry ini.

Thursday, March 18, 2010

MENANGANI GEJALA SOSIAL YANG SEMAKIN MERUNCING


Hari-hari ada saja berita tentang gejala dan masaalah sosial. Ada kes dadah, kes-kes pencolekan, rompakan, salah guna kuasa dan pelbagai bentuk rasuah.

Terkini tadi seorang bekas pengarah Jabatan Perhutanan didakwa setuju terima rasuah RM20,000 dari sebuah syarikat balak dari Alor Star.  Dua hari lepas kita membaca berita tentang seorang suri-rumah yang menceritakan sengsara 11 hari setelah dicolek dan diperkosa.  Sebelum itu kita dikejutkan dengan cerita tahanan reman ke atas Benjy, seorang artis popular, kerana kes dadah.  Jelas, semakin hari, gejala sosial semakin meruncing.

Sesuatu harus dilakukan oleh pihak berwajib dengan lebih serius dan komitmen yang tinggi.  Pemimpin dan pegawai kerajaan mesti benar-benar jujur dan amanah untuk sama-sama mencari solusi paling berkesan.

Kualiti sumber manusia ternyata amat penting.  Saya amat yakin cara membentuk dan menghasilkan sumber manusia yang tinggi kualitinya mesti bermula dari pendidikan yang tinggi mutu ilmu pelajaran dan pembentukan insaniah.

Sistem pelajaran mesti menyeluruh.  Ia harus bermula awal dari zaman bayi di rumah hingga kepada pendidikan formal menyeluruh di institusi pengajian yang bermula dari sekolah tadika dan sekolah rendah lagi.

Tuesday, March 16, 2010

APA KE JADAHNYA?

Tentu dah ramai yang dah baca berita manusia tua yang gila pelek.  Saya petik sebahagaian berita berkenaan di bawah ini:
Nafsu Gila Suami Tua
"Seorang pesara sanggup memaksa isterinya yang juga warga emas ditiduri lelaki lain manakala dia pula hanya melihat dan merakam aksi mereka melakukan hubungan seks sejak empat tahun lalu.

Malah, lelaki berusia 66 tahun itu turut memilih lelaki yang akan dijadikan teman ranjang isterinya yang berusia 61 tahun.

Akibat tidak tahan menjadi hamba seks, mangsa yang juga seorang nenek berjaya melarikan diri dari kampungnya di sebuah daerah terpencil di Sarawak dengan bantuan anak tirinya ke ibu negara, awal Mac lalu.

Menceritakan penderitaan, mangsa dikenali sebagai Chia berkata, suaminya mula berubah sikap apabila mereka menghadapi masalah hubungan kelamin selepas berkahwin 14 tahun.

“Pada mulanya, saya sangkakan masalah itu boleh diselesaikan dengan berbincang, namun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila saya dibawa ke sebuah ladang getah berhampiran rumah dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

“Saya cuba menolak namun dipukul hingga lebam dan kerana takut dicederakan saya hanya turutkan permintaan gila suami saya itu,” katanya, semalam.

Chia berkata, penderitaannya semakin parah sejak setahun lalu apabila dibawa setiap bulan ke ladang itu untuk melakukan perbuatan terkutuk bersama lelaki tidak dikenalinya.

“Suami akan mencari pekerja asing berusia antara 16 hingga 40 tahun untuk dijadikan teman seks dan mereka akan diberi upah minuman keras atau kad tambah nilai telefon bimbit.

“Ketika saya melakukan seks, suami akan menonton dan merakamnya bagi menakutkan saya agar tidak membuat laporan polis.

“Kali terakhir saya dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu pada 4 Mac lalu. Saya sudah terlalu azab untuk tinggal bersamanya lagi.

“Saya dibelasah teruk serta diugut jika cuba melarikan diri. Akibat tidak tahan, saya mengadu kepada anak dan mereka membantu saya menyelamatkan diri,” katanya yang mempunyai tiga anak tiri dengan suaminya itu.

Chia berkata, dia isteri kedua lelaki itu selepas isteri pertama suaminya meninggal dunia dan mereka berkahwin pada 1996, namun tidak ada anak.

Dia kemudian datang ke Biro Pengaduan Awam MCA untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling bagi menyelesaikan masalahnya itu."
Apa ke jadah pulak si suami ini?  Kalau muda, samseng jalanan ke, boleh juga kita mengerti kegilaan seks melampau seperti ini.  Tetapi dia ini adalah seorang lelaki yang dah masuk ke dalam golongan datuk tua.  Walaupun  bukan seorang Islam, tabii luar biasa ini memang tak boleh diterima oleh masyarakat umum.

Saturday, March 13, 2010

BILA TERJEBAK!

Hari ini satu Malaysia hebuh pasal pelakon popular yang kena tahan reman bersama teman wanitanya kerana disyaki terlibat kes dadah.  Nampaknya macam kes berat.  Apa tidaknya, jika dah siap terjumpa makmal dan kelengkapan untuk menghasil dan membungkus dadah mestilah parah.

Petang ni rasanya ramai juga yang sudah tahu siapa pelakon itu.  Saya pun baru saja dapat tahu dari sahabat rapat saya.  Katanya maklumat itu amat dipercayai kerana ia adalah sumber kakitangan jabatan yang berkenaan.  Namun begitu, saya tak berani pula nak menyebut namanya secara terbuka di sini, kerana kita ada macam-macam undang-undang.

Inilah akibatnya jikaseseorang terlalu mengikut hati dan perasaan.  Kita memang tak tahu masaalah dia.  Tapi begitulah akibatnya jika sudah ada anak isteri pun masih sosial lagak bujangan. 

Walau apapun, biarlah kita sama-sama mengambil ikhtibar.  Semoga kita dan keturunan kita dipelihara dari segala kedurjanaan, amin, amin , ya Rabbal  a'alamin.

Wednesday, March 10, 2010

RAKYAT MALAYSIA SEJATI

Banyak orang di kalangan rakyat, termasuk juga saya, rasa tidak senang dengan tindakan pemimpin Perkasa dan mereka yang bersekongkol dengannya.  Mereka ini sering membangkitkan isu kepentingan dan hak orang Melayu.  Isu ini begitu amat sensititif kerana ia boleh melewati transgresi kaum.

Sebenarnya, kita boleh lihat dengan nyata bahawa secara keseluruhannya, kebanyakan rakyat Malaysia, samaada mereka adalah Melayu, Cina, India atau dari kaum-kaum lain, telah hidup dengan aman damai dan saling menghormati.  Jika ada krisis pun, ianya adalah seperti juga di dalam sesebuah rumahtangga di mana suami isteri berbeza pendapat dan berselisih faham yang kemudian berbaik kembali.  Kasih sayang dan persefahaman tidak luntur.

Jika sering dilaga-laga dan diapi-apikan, batu dan pasir pun boleh mengeluarkan api serta bernyala.  Jadi adalah amat mustahak sekali untuk seluruh rakyat terus mendukung sepenuhnya matlamat integrasi nasional.  Janganlah asyik dengan agenda peribadi yang jumud.  Sudah-sudahlah dengan usaha yang hanya mengelirukan rakyat, dan menimbulkan keresahan.

Perlembagaan telah memperuntukan bahawa hak dan keistimewaan orang Melayu amat utuh, yakni sudah terpelihara dengan baik.  Ianya tidak mudah tergugat.

Sudah tiba masanya untuk setiap rakyat menerima hakikat bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa dan berpelbagai budaya.  Ciri-ciri itu pasti kekal jika kita semua hormat dan memeliharanya dengan baik.  Itulah destini dan ketentuan masa depan Malaysia, dan kita mesti akur.

Sunday, March 07, 2010

JIKA MALU DAN TAKUT KEPADA ALLAH SWT


Saya berasa sedih, marah serta juga takut, semuanya bercampur-baur.  Saya sedih dan marah kerana seorang pemimpin Islam terus bersikap angkuh; saya juga takut diturunkan bala yang akan menyebabkan kita turut terkena bahangnya.

Begitu berani YB Zulkifli Nordin mengatakan beliau malu kepada Allah dan masyarakat Islam jika terus bersama PKR.  Sampai membawa menggunakan nama Allah dalam polimik politik!  Ampun, ya Allah.

Soalannya, adakah beliau sekadar malu dimulut saja kepada Allah SWT, tetapi tidak takut kepada pembalasanNYA.  Adakah beliau sedar bahawa apa yang dilakukannya amat berlawanan dengan nilai-nilai Islam sendiri.

Islam tidak menyeru untuk seorang pemimipin mengabaikan rakyat dan pengundi yang telah memberi mandat kepadanya.  Benar kan beliau diberi mandat untuk membawa kemajuan dan kebaikan sesuai dengan janji yang dibuat semasa pilihanraya serta seruan Allah SWT?

Tindakan degilnya untuk mencari penyelesaian mengikut acuan kata dan syaratnya sendiri bukan ciri-ciri seorang pemimpin Islam.   Malah perbuatannya yang tidak merujuk kepada rakyat yang memilihnya sebagai wakil rakyat adalah perbuatan yang tidak amanah.  'Pemimpin mesti amanah' itu adalah hukum Allah.  Beliau tidak malu dan tidak takutkah memilih untuk tidak patuh kepada hukum Allah?

Sudah-sudahlah dengan bermain politik.  Jangan sampai ke tahap menjadi duri dalam daging yang kemudiannya menyebabkan terluka, serta merebak menjadi kudis bernanah yang busuk dan menjijikkan.

Jika benar beliau memperjuangkan Islam, ikut sepenuhnya seruan Illahi.  Dalam kes ini beliau tidak ada pilihan lain selain beliau mesti amanah dan balik bertanya kepada rakyat yang mengundinya.  Beliau mesti pergi bertanya samaada majoriti mereka masih mahu terus memberi amanah dan mandat kepadanya.  Jika beliau benar-benar malu dan takut kepada Allah SWT, maka ini harus disegerakan.

Thursday, March 04, 2010

JIHAD ATAU SESAT?


Tadi hujan dan saya sampai di rumah agak terlewat sedikit. Jadi malam ni tak adalah ikut pergi ke Masjid untuk jemaah malam Jumaat seperti kebiasaannya.  Dah solat kat rumah, sementara menunggu Isyak ni, saya masuk la ke laman sekejap untuk meninjau-ninjau.

Teringat pula berita terkini tentang pengeboman berani mati yang membunuh 29 orang di Baquba, Iraq menjelang pilihanraya parlimen di sana.  Mengikut punca berita itu 42 orang lagi tercedera akibat dari tiga serangan berani mati itu.

Entah mengapa mereka ini sanggup melakukan perkara yang bodoh seperti ini.  Mengikut kata mereka yang sefahaman, ini adalah jihad.

Jihad apa ke bendanya bila membunuh dan mencederakan rakyat dan orang ramai.  Kalau ada pun dosa dan kesalahan mereka yang menjadi korban ini, Allah tidak menyeru kepada jihad begini.  Membunuh dan mencederakan orang ramai serta pengorbanan mereka dengan nekad berani mati itu bukan seruan Islam.   Malah semuanya mirip kepada perbuatan sesat.

Itulah akibatnya bila manusia terlalu taksub dengan sesuatu isu dan/atau pemimpin.  Ketaksuban mereka sudah sampai ke tahap yang melampau hingga bercanggah dengan Hukum Allah SWT.   Kita ragui pengorbanan seperti ini: adakah ia jihad atau apakah ia amalan sesat?

Tuesday, March 02, 2010

TUNGGU BONUS BERGANDA

Kalau diikutkan, badan ni rasa dah letih sangat kerana hari ini memang amat penuh.  Tapi rasa nak kongsi kegembiraan melebihi rasa letih tu pula.  Jadi saya masuk jugalah ke Maya. :)

Jika anda mendengar berita, tentu anda tahu bahawa institusi dan majikan saya mendapat untung yang berlipat ganda untuk tahun kewangan terakhir ini.  Berita ini disambut dengan perasaan yang bercampur-campur kerana kaki-tangan tidak pasti apa yang akan dilakukan oleh pihak atasan.

Dulu pernah juga ada pendapatan dan keuntungan yang membanggakan, tetapi lembaga pengarah dan pihak atasan mengambil keputusan untuk kontrakan dengan kerugian tahun-tahun sebelumnya.  Kata mereka lebihan tahun berkenaan tidak cukup untuk menampung semua tanggungan yang masih tertangguh.

Jadi, walaupun keuntungan tahun kewangan akhir ini amat baik sekali, kaki-tangan bertanya-tanya sesama sendiri samaada terdengar desas-desus yang positif dari pihak atasan.  Ada yang kata mungkin jumlah bonus ditambah, dan ada yang kata mungkin ada tawaran untuk kaki-tangan membeli syer dengan harga yang istimewa.

Selagi tak ada berita resmi dari pihak atasan, sekelian kaki-tangan hanya mampu berdoa.  Semoga mereka pihak atasan bermurah hati.  Kami sekelian menunggu dengan penuh harapan.  Harap-harap ada bonus berganda nanti.