Kiranya percutian selama 11 hari ke Eropah termasuk perjalanan pergi dan balik ke Malaysia memang terlalu singkat dan jadualnya amat padat. Ternyata ia memang satu percutian yang meletihkan.
Kami naik Thai Airlines di mana selepas berlepas dari KLIA kami terpaksa transit dulu di Bangkok hampir dua jam juga. Selepas itu barulah kami meneruskan penerbangan ke Frankfurt, Jerman. Semasa sampai tu dah mula rasa lengoh-lengoh badan dan mengantuk. Tetapi oleh kerana teruja nak melihat dunia, semua ahli rombongan nampak riang.
Setelah sampai kami dinaikkan ke dalam beberapa biji bas. Kemudian kami dibawa ke Colmar. Bangunan-bangunan di sini sungguh unik, cantik dan menarik dengan ciri architecture yang sungguh tinggi nilainya. Kami bermalam berhampiran bandar ini.
Pada keesokan harinya, kami dibawa melalui bandar-bandar di Jerman seperti Bonn, dan Stuutgart dan melihat tempat tersohor seperti Loreley Rock dan Sungei Rhine. Tetapi kami tidak dibawa untuk 'river cruise' kerana faktor masa. Kami bersiar dan melihat sambil meneruskan perjalanan ke selatan. Kami bermalam di salah sebuah bandar yang bernama antara Basel atau Baden, iaitu dekat sempadan antara Jerman dan Switzerland.
Esoknya pula, awal-awal pagi kami sudah mulakan program. Selepas makan pagi, kami dibawa ke kawasan Lake Luzern berdekatan dengan resort ski yang terkenal itu.
Memang tempat ini amat menakjubkan. Walaupun dimusim panas, tempat ini masih bersalji tebal. Tetapi tak ada acara ski la. Semua orang berposing sakan.
Malam itu kami dibawa bermalam di satu pekan kecil yang saya pun tak ingat namanya. Semua orang tak kisah nak ambil tahu pun sebab sudah terlalu keletihan dan hanya berfikir nak rehat dan tidur saja.
Kemudian, esoknya, kami meneruskan perjalanan menuju Paris. Memang satu perjalanan yang amat jauh dan meletihkan. Tetapi aktiviti ambil gambar memang dilakukan juga semasa dalam perjalanan, dan semasa berhenti rehat untuk makan dan menunaikan hajat.
Acara di Paris termasuklah berkunjung ke Eiffel Tower. Anggota rombongan hanya sempat naik ke tingkat bawah saja kerana faktor masa juga. Tapi dari situ pun pemandangannya amat cantik sekali. Walaupun rasa tak puas, tapi hati gembira kerana sampai juga di sana. Kami bermalam di Paris.
Setelah itu kami menuju ke Calais pula, iaitu pekan pelabuhan Perancis yang kira-kira 40 kilometer dari Dover di England. Perjalanan dari Calais ke Dover dan seterusnya ke kota London juga adalah satu lagi perjalanan yang amat jauh dan meletihkan. Sampai saja di hotel di Bayswater, London, semua orang sudah tidak bermaya lagi.
Kami berada di London selama dua hari. Satu hari acara mengikut jadual syarikat pelancongan dan satu hari ialah hari acara bebas. Walaupun masanya singkat, kami sempat jugalah melihat tempat popular seperti Trafalgar Square, Kensington, Birmingham Palace, Big Ben dan sebagainya tu.
Semasa hari acara bebas, kami berjalan-jalan mencari cenderahati di Oxford Street. Panjang rupanya jalan tu. Letih juga la berjalan kaki. Kami turut berjalan di Bond Street yang terkenal dengan barang-barang berjenama mewah tu.
Setelah selesai tu, kami semua di bawa ke Lapangann Terbang Heathrow untuk pulang ke tanah air. Semuanya memang satu kenangan yang akan sentiasa berada di dalam ingatan.
Tetapi kami dirompak dari kenangan yang dirakamkan melalui kamera digital dan kamera video oleh penjenayah yang tegar. Memang rasa amat terkilan, tetapi kami redha.